Previous Next

SESI KOLABORASI STRATEGIK AKADEMIK & ANTARABANGSA BERSAMA PIHAK PENGURUSAN YAYASAN SABAH (YS)

 
17 Ogos 2023 | Yayasan Sabah, Kota Kinabalu
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman telah menghadiri dan mengetuai Sesi Perbincangan Kolaborasi Strategik Akademik dan Antarabangsa bersama pihak pengurusan Yayasan Sabah (YS) yang diketuai oleh YBhg Puan Bahiwata Sayangan Haji Mulia, Pengurus Kumpulan, Bahagian Pembangunan Pendidikan, Kumpulan Yayasan Sabah di Bilik Mesyuarat Utama, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Kumpulan Yayasan Sabah (YS), Kota Kinabalu.
Tujuan utama sesi perbincangan kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa tersebut diadakan adalah untuk meningkatkan dan memperkukuhkan kerjasama yang telah sedia terjalin erat di antara UMPSA dan YS meliputi aspek penajaan pelajar, pendidikan tinggi dan TVET aras tinggi. Kerajaan Negeri Sabah amat menekankan kepentingan pendidikan kepada penduduk Sabah melalui agensi pendidikannya iaitu Yayasan Sabah (YS).
Ini selari dengan tujuan utama penubuhan YS iaitu untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk rakyat Malaysia di Sabah, mewujudkan peluang untuk pengagihan kekayaan ekonomi yang lebih saksama dalam kalangan rakyat Negeri Sabah dan menyediakan bantuan kepada institusi kebajikan dan mangsa-mangsa bencana alam.
Pihak YS juga memfokuskan kepada pemantauan prestasi para pelajar tajaan YS yang sedang menjalani program pendidikan tinggi di UMPSA terutamanya bagi program Ijazah Dual bersama universiti di Jerman. Pihak YS hendak memastikan para pelajar tajaannya dapat menghabiskan pengajian dan bergraduat mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Menurut Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, “Sesi perbincangan kolaborasi strategik dan akademik UMPSA-YS yang diadakan pada hari adalah amat signifikan dengan matlamat dan fungsi YS untuk meningkatkan taraf ekonomi Negeri Sabah melalui peningkatan tahap pendidikan penduduknya. Pihak pengurusan YS ingin mengembangkan lagi kolaborasi akademik dan antarabangsa dengan UMPSA meliputi peningkatan penajaan pelajar-pelajar penduduk di Negeri Sabah mengikuti pengajian bagi program Ijazah Dual dengan universiti di Jerman dan China serta dalam masa terdekat di Korea Selatan. Pada masa yang sama juga pihak YS dapat mengetahui secara langsung pretasi para pelajar tajaan YS,” ujar beliau.
Turut hadir di sesi kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa ini adalah Pengarah PKSA, Pengarah PPKA, Pengurus Kanan JHEAA dan Timbalan Pengarah PKSA. Manakala di pihak YS yang hadir adalah Pengurus Bahagian Pembangunan Pendidikan dan Pegawai-Pegawai Kanan Yayasan Sabah (YS)

Print   Email