Previous Next

Sesi Ramah Mesra dan Raptai Majlis Graduasi Pelajar Ijazah Dual UMPSA-BJTU

Sesi Ramah Mesra dan Raptai Majlis Graduasi Pelajar Ijazah Dual UMPSA-BJTU
7 Januari 2024 | Beijing Jiaotong University (BJTU) , China
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman hari ini bertemu dengan pelajar program Ijazah Dual sempena majlis graduasi yang akan berlangsung di BJTU, Beijing pada esok hari ( 8 Januari).
Dalam majlis ini memberi peluang buat peserta berkongsi pengalaman dan pembelajaran terhadap pelaksanaan program kerjasama antarabangsa UMPSA-BJTU dalam bidang kejuruteraan dan teknologi rel.
Menurutnya, UMPSA akan terus komited untuk memperkasakan aspek pengantarabangsaan universiti meluas ke negara China menerusi kerjasama dengan Beijing Jiaotong University (BJTU) dalam program kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrikal.
“UMPSA berbangga dengan kejayaan para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan pihak universiti menghargai sokongan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Duta Besar China di Malaysia dan hasil kolaborasi dengan pihak BJTU,” katanya yang mengucapkan tahniah buat pelajar.
Begitu juga hasil kerjasama pihak UMPSA dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta kerjasama dengan Yayasan Sabah dan Yayasan Terengganu yang memberi penajaan pelajar mengikuti pengajian ijazah dual ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan para pelajar untuk menjadi aktif dalam ko-kurikulum
seperti menyertai program yang dianjurkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan menyertai Persatuan Pelajar Malaysia untuk membina rangkaian sosial yang luas, memperkukuh kemahiran interpersonal, dan menimba pengalaman yang dapat membantu dalam pembangunan diri serta kerjaya pada masa hadapan.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Prof Ts Dr Kamal Yusoh berkata, pihak universiti sentiasa menambah baik program ini termasuklah dalam memberi nilai tambah buat pelajar bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Turut berlangsung sesi ramah mesra pelajar pada sebelah malamnya bersama Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Dr Anesee Ibrahim.
Hadir sama Kaunselor (Latihan dan Pendidikan) Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan Seoul, Korea Selatan, Shahril Nizam Idris dan Pengarah Pejabat Education Malaysia (Beijing), Muhammad Sallehuddin Mohd. Dilif.
Turut sama Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Prof Dr. Mahadzir Ishak @Muhammad dan Timbalan Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Prof Madya Ts Dr Lee Khai Loon.
Seramai 101 orang pelajar UMPSA kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi program Ijazah Dual di BJTU.
Sehingga kini UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam yang telah melaksanakan 10 program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, BJTU dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan yang terkini dengan Hanyang University ERICA Campus, Korea Selatan.

Print   Email