Previous Next

GRADUAN PERINTIS PROGRAM IJAZAH DUAL UMPSA-BJTU TINGKAT PEMBANGUNAN INDUSTRI REL NEGARA

GRADUAN PERINTIS PROGRAM IJAZAH DUAL UMPSA-BJTU TINGKAT PEMBANGUNAN INDUSTRI REL NEGARA
8 Januari 2025 | Beijing, China
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mencatat sejarah baharu apabila kumpulan pertama seramai 45 graduan program kerjasama UMPSA-Beijing Jiaotong University (BJTU) berjaya menamatkan pengajian mereka dalam bidang kejuruteraan rel. Daripada jumlah ini seramai 10 pelajar tamat pengajian dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik, 20 pelajar (Kejuruteraan Mekanikal) dan 15 pelajar Kejuruteraan Awam.
Dengan kelahiran graduan perintis UMPSA-BJTU ini, Malaysia kini bersedia untuk menggerakkan industri rel dengan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi yang mampu menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
UMPSA merupakan universiti pertama di Malaysia yang menawarkan program Ijazah dual yang membolehkan pelajar mengikuti pengajian selama 2 tahun di UMPSA sebelum menyambung pengajian selama 2 setengah tahun di BJTU, China.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inivasi), Prof Ts Dr Aida Mustapha yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMPSA berkata, program ini juga berjaya mengadaptasi Work-based Learning (WBL) yang berteraskan industri dan memberi peluang pelajar menimba pengalaman industri di China.
Ujarnya, kejayaan ini merupakan langkah signifikan ke arah melahirkan tenaga kerja mahir untuk menyokong pembangunan sektor rel di Malaysia, termasuk projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka beroperasi pada tahun 2026.
Pihaknya menghargai sokongan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Duta Besar China di Malaysia dan hasil kolaborasi dengan pihak BJTU.
“Program ijazah dual ini membuka lembaran sejarah di antara UMPSA dengan BJTU bagi mengeratkan hubungan kerjasama strategik dan membuka peluang yang lebih meluas dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik kedua-dua universiti.
“Selain itu, pertumbuhan sektor pembuatan dan industri di Malaysia pada masa kini memerlukan lebih banyak tenaga pakar dan berkemahiran dalam pelbagai bidang teknologi.
“Malahan, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dilihat akan memberi lonjakan terhadap sistem pendidikan negara,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, seramai 102 pelajar telah menyertai program ini, yang memberi penekanan kepada pembangunan kepakaran berkaitan Teknologi Rel.
Majlis menyaksikan graduan menerima ijazah masing-masing daripada Secretary of the CPC Beijing Jiaotong University (BJTU), Chen Ziji dan Timbalan Presiden BJTU, Professor GAO Liang mewakili BJTU.
Manakala mewakili UMPSA, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman dan Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, Prof Ts Dr Kamal Yusoh serta Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Prof Dr. Mahadzir Ishak @Muhammad.
Turut sama Timbalan Pengarah Pusat Kerjasama Strategik Akademik (PKSA), Prof Madya Ts Dr Lee Khai Loon dalam majlis graduasi yang berlangsung di BJTU, Beijing hari ini.
Sehingga kini UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam yang telah melaksanakan 10 program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, BJTU dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan dan yang terkini dengan Hanyang University Erica Campus Korea Selatan.

Print   Email