UMPSA Raikan Kejayaan Pelajar Terima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China
Hits: 33
UMPSA Raikan Kejayaan Pelajar Terima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China
10 Februari 2025 | UMPSA, Pekan
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meraikan kejayaan luar biasa pelajar-pelajarnya yang telah menerima Hadiah Kecemerlangan Duta Besar China hari ini. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman mewakili Naib Canselor, Prof. Dr. Yatimah Alias, telah menyambut baik delegasi dari Kedutaan China iaitu Kaunselor Pendidikan, Zhao Changtao dan Setiausaha Pendidikan, Tang Jing.
Majlis hari ini menandakan pengiktirafan kepada dedikasi dan kesungguhan 14 pelajar UMPSA yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam akademik mereka, serta memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan China dalam bidang pendidikan tinggi.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dalam ucapannya mewakili Naib Canselor, Prof. Dr. Yatimah Alias, berkata hubungan Malaysia dan China bukanlah perkara baharu, malah telah terjalin sejak berabad lamanya
“Kedua-dua negara berkongsi hubungan budaya, ekonomi, dan diplomatik yang kukuh. Pada masa ini, China adalah rakan dagang terbesar Malaysia, dengan kerjasama yang merangkumi pelbagai bidang termasuk pendidikan, teknologi, dan inovasi.
“UMPSA turut bangga dengan kerjasama strategiknya bersama institusi pengajian tinggi di China. Antaranya, program Ijazah Dual bersama Universiti Beijing Jiaotong (BJTU) yang telah berjaya melahirkan profesional dalam bidang kejuruteraan rel.
“Sebanyak 45 pelajar UMPSA telah menamatkan pengajian mereka di BJTU pada 18 Januari 2025. Selain itu, UMPSA turut menjalinkan kerjasama dengan universiti lain di China, termasuk Universiti Tianjin, Universiti Ningxia, dan Kolej Teknikal Keretapi Liuzhou”, ujarnya.
Selain kerjasama akademik, UMPSA juga terlibat dalam inisiatif industri seperti menjadi Universiti Fokus untuk Program Latihan Kemahiran Industri ECRL, hasil kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Malaysia Rail Link (MRL), dan China Communications and Construction Company (CCCC) sejak tahun 2017.
Satu lagi pengiktirafan yang diberi perhatian adalah Biasiswa Duta China yang telah banyak memberi manfaat kepada pelajar UMPSA. Sejak 2022, Kedutaan China di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM65,250 (2022), RM61,000 (2023) dan RM50,000 (2024) kepada para pelajar, sebagai sokongan kepada kejayaan akademik mereka. Biasiswa ini bukan hanya memberi bantuan kewangan, tetapi juga memberi inspirasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Dato’ Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman menyeru agar pelajar UMPSA terus mencabar diri dan mengejar impian mereka untuk menjadi pemimpin masa depan negara.
“Kejayaan ini adalah tanggungjawab yang harus digalas dengan terus berusaha keras, berinovasi, dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat”, ujarnya.
UMPSA bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dengan China, dengan mengembangkan program mobiliti, kerjasama penyelidikan, dan pertukaran akademik. Dengan sokongan yang diberikan oleh Kedutaan China, UMPSA akan terus berusaha menyediakan pendidikan terbaik yang tidak hanya mempersiapkan pelajar untuk kerjaya, tetapi juga untuk menjadi pemimpin global.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Aida Mustapha, barisan dekan-dekan dan pengarah.
Latest News
Most View Articles
- Cooperation Agreement UMP-HsMA Manheim
- Lawatan Penanda Aras Pelaksanaan Program Joint/Dual/Double Degree Daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Ke Universiti Malaysia Pahang 09/12/2021
- MoU UMP - HTWG Konstanz
- Kunjungan Hormat Duta Besar Jerman, HE Dr Peter Blomeyer ke Universiti Malaysia Pahang