Previous Next

KERJASAMA UMPSA DENGAN TIGA INSTITUSI DI HEBEI CHINA

UMPSA metrai kerjasama dengan tiga institusi di Hebei
22 September 2023 | Hebei
Universiti Malaysia Pahang Al -Sultan Abdullah (UMPSA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama tiga institusi TVET di Kementerian Pendidikan Hebei, China, iaitu Hebei Petroleum University of Technology, Hebei Software Institute dan Shijiazhuang Institute of Railway Technology.
Kerjasama ini menfokuskan kepada program khas akademik antara UMPSA dengan ketiga-tiga institusi dalam program akademik jangka pendek, latihan industri bagi pengajian ijazah sarjana muda serta ijazah dual.
Pihak UMPSA telah diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin manakala Hebei Software Institute (HSI) diwakili oleh Prof. Wu Xitao, Setiausaha Jawatankuasa Disiplin HSI.
Manakala Naib Presiden, Prof. Wu Ali, pula mewakili Shijiazhuang Institute of Railway Technology.
UMPSA turut menandatangani MoU bersama Hebei Petroleum University of Technology yang diwakili oleh Naib Presiden, Prof. MaXiancai dan UMPSA merupakan IPT pertama di Malaysia yang mempunyai MoU bersama.
Majlis tersebut telah disaksikan oleh Timbalan Menteri Kementerian Pendidikan Hebei, China manakala En. Ahmad Rizal Adnan, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Tinggi mewakili Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Turut sama hadir adalah En. Jamalulail Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Naib Presiden Hebei University, Profesor Dr Shen Shigang.
Menurut Prof. Dato' Ts. Dr. Yuserrie , UMPSA terus komited meningkatkan hubungan dengan komuniti antarabangsa selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama: Program Ijazah Bersama Antarabangsa dalam Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 untuk merealisasikan visi UMPSA menjadi ‘Universiti Teknologi Terunggul’.
“Pada masa ini UMPSA telah bekerjasama dengan beberapa Universiti di China seperti Beijing Jiaotong University (BJTU), Tianjin University (TJU) , Hebei University (HBU) dan Ningxia University (NXU) telah menarik beberapa institusi pendidikan di China untuk bekerjasama dengan UMPSA,” katanya.
Hubungan kerjasama yang terjalin tahun di antara UMPSA dan BJTU sejak tahun 2020 menyaksikan UMPSA meneruskan agenda pembangunan bakat berkaitan pengangkutan rel dengan menawarkan program akademik ijazah dual program Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrikal bersama rakan kerjasama daripada BJTU.

Print   Email