Previous Next

KOLABORASI STRATEGIK AKADEMIK & ANTARABANGSA UMPSA DAN KOLEJ TEKNOLOGI YAYASAN SABAH (KTYS)

KOLABORASI STRATEGIK AKADEMIK & ANTARABANGSA UMPSA DAN KOLEJ TEKNOLOGI YAYASAN SABAH (KTYS)
17 Ogos 2023 | Kota Kinabalu, Sabah
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi perbincangan kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa di Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) yang telah diadakan di Bilik Mesyuarat Lembaga Pengarah, KTYS, Kota Kinabalu, Sabah.
Kehadiran TNCAA telah disambut oleh Tuan Haji Samin Haji Ongki, Ketua Eksekutif KTYS dan pihak pengurusan KTYS. Tujuan utama kunjungan hormat adalah memenuhi jemputan daripada pihak pengurusan KTYS yang telah berkunjung ke UMPSA Pekan pada 10 Ogos 2023. Melalui kunjungan hormat ini membolehkan pihak UMPSA melihat secara langsung kemudahan fasiliti di KTYS bagi membolehkan potensi untuk menjalankan kolaborasi strategik pelaksanaan program TVET aras tinggi di KTYS khas dan di Negeri Sabah amnya.
Kolaborasi strategik ini juga untuk meningkatkan lagi kerjasama yang telah dijalinkan sebelum ini melalui kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa terutamanya.
KTYS adalah institusi pendidikan tinggi yang ditubuhkan di bawah Yayasan Sabah (YS) yang tujuan utamanya adalah untuk mempromosikan peluang pendidikan dalam kalangan penduduk Sabah, membangunkan dan manjalankan latihan di seluruh Negeri Sabah (terutamanya di kawasan luar bandar) meliputi sekolah, kolej dan institusi dengan tujuan memberikan peluang pendidikan kepada rakyat Sabah dalam pendidikan dan latihan vokasional, teknikal dan kemahiran perniagaan.
Menurut Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, “Kunjungan hormat ke KTYS hari ini adalah susulan daripada kunjungan hormat oleh pihak pengurusan KTYS ke UMPSA Pekan pada 10 Ogos 2023 yang lepas. UMPSA kini dalam peringkat awal untuk menubuhkan kampus cawangan di Sabah bagi memberikan akses pendidikan tinggi dalam bidang TVET Aras Tinggi kepada penduduk di Negeri Sabah terutamanya. Kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa di antara UMPSA-KTYS akan dipertingkatkan melalui cadangan penubuhan kampus cawangan UMPSA dengan kerjasama KTYS. Manakala pihak KTYS juga ingin mempelajari amalan terbaik kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa yang telah dijalankan oleh UMPSA dengan pihak Yayasan Terengganu (YT) dalam pelaksanaan program Ijazah Dual. Penumpuan perbincangan mengkhusus kepada pelaksanaan program Ijazah Dual bagi membolehkan penglibatan pihak KTYS dijadikan pusat pembelajaran dan pengajaran program tersebut untuk pelajar dari Negeri Sabah melanjutkan pendidikan tinggi bagi program berkenaan,” ujar beliau.
Turut hadir di sesi kolaborasi strategik ini adalah Pengarah PKSA, Pengurus PPKA, Pengurus Kanan, JHEAA dan Timbalan Pengarah PKSA. Manakala di pihak KTYS yang hadir adalah Encik Ahmad Nooramin Ismail, Dekan, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Encik Mohd Izzat Murshidi, Pegawai Khas.

Print   Email