Previous Next

KOLABORASI STRATEGIK AKADEMIK & ANTARABANGSA UMPSA DAN UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS (UTP)

KOLABORASI STRATEGIK AKADEMIK & ANTARABANGSA UMPSA DAN UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS (UTP)
18 Ogos 2023 | UTP, Bandar Seri Iskandar, Perak
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi perbincangan kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) yang telah diadakan di Dewan Senat, Canseleri, UTP, Bandar Seri Iskandar, Perak.
Kehadiran TNCAA telah disambut oleh Prof Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, Naib Canselor UTP dan pihak pengurusan UTP. Tujuan utama kunjungan hormat diadakan adalah untuk membincangkan secara terperinci kolaborasi pelaksanaan bagi program Ijazah Dual UMPSA-UTP dan pelaksanaan Open and Distance Learning (ODL).
Cadangan pelaksanaan program Ijazah Dual UMPSA-UTP adalah selari dengan keberkesanan pelaksanaan program tersebut yang telah dijalankan dengan jayanya bersama universiti terbaik di negara Jerman dan China. Cadangan pelaksanaan program Ijazah Dual dengan UTP adalah selari dengan kedudukan UTP yang kini merupakan antara universiti yang terbaik di Malaysia.
Manakala kolaborasi pelaksanaan ODL adalah atas justifikasi UTP yang merupakan antara universiti yang terkehadapan dalam pelaksanaan ODL. Amalan terbaik UTP dalam pelaksanaan ODL adalah terkait dengan fasiliti bagi pelaksanaannya yang amat maju dan pantas berkembang.
Perbincangan kolaborasi strategik ini juga untuk meningkatkan lagi kerjasama yang telah dijalinkan sebelum ini melalui kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa terutamanya melalui kunjungan hormat yang telah diadakan oleh pihak pengurusan universiti ke UTP pada awal tahun ini.
UTP yang telah ditubuhkan pada 10 Januari 1997 adalah merupakan universiti swasta terbaik di Malaysia. UTP adalah anak syarikat PETRONAS yang merupakan syarikat minyak dan gas nasional.
Menurut Prof Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, “Kunjungan hormat dan sesi perbincangan kolaborasi strategik akademik dan antarabangsa di UTP ini adalah susulan daripada kunjungan hormat oleh pihak pengurusan UMPSA ke UTP pada awal tahun ini. UMPSA kini dalam peringkat awal cadangan untuk mengadakan program Ijazah Dual UMPSA-UTP. Sebagai sebuah universiti yang popular dan menjadi pilihan utama para pelajar yang cemerlang maka kolaborasi bagi cadangan pelaksanaan program Ijazah Dual UMPSA-UTP akan membolehkan Ijazah Dual berkenaan menjadi pilihan utama pelajar cemerlang untuk melanjutkan pendidikan tinggi. Manakala bagi pelaksanaan ODL amat tepat dan bersesuaian untuk UMPSA mempelajari amalan terbaik yang dilaksanakan di UTP bagi membolehkan ianya dicontohi dan dilaksanakan di UMPSA,” ujar beliau.
Turut hadir di sesi kolaborasi strategik ini adalah Pengarah PKSA, Pengarah PPKA, Pengarah PIDA, Pengarah PPA, Pengarah PSPe, Pengurus Kanan JHEAA, Eksekutif Kanan JHEAA, Pengurus Besar ODL & MC, UMPA dan Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan UMPA.
Manakala di pihak UTP yang hadir adalah pihak pengurusan UTP yang diketuai oleh Prof Ir Dr Hilmi Mukhtar, Timbalan Naib Canselor Akademik UTP.

Print   Email